Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Beberapa hari lepas, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berjaya membawa pulang seramai 11 mangsa jenayah sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Kepulangan mereka secara berperingkat bermula Khamis lepas bermula dengan tiga orang diikuti lima, kemudian tiga lagi orang tiba dari Laos minggu ini.

Difahamkan mangsa dari Myanmar yang terdiri daripada dua orang yang diselamatkan terus dari Tachilek dan enam lagi dari Myawaddy.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim memberitahu, rata-rata mangsa di zon utara Myanmar telah dilepaskan secara sukarela oleh kumpulan sindiket berkenaan.

Ia berlaku selepas operasi dilancarkan pihak tentera Beijing ke atas mereka itu bagi menyelamatkan ratusan warga China yang menjadi mangsa kes penipuan yang sama.

“Untuk makluman, ada pertempuran yang meletus bulan lepas oleh pemerintah China. Ini kerana China lancar operasi besar-besaran ekoran kes kematian empat perisikannya yang ditanam hidup-hidup.

“Saya dimaklumkan mereka telah dibunuh kejam selepas cuba membawa pulang sekumpulan 70 rakyat negara itu.

“MHO juga telah jalankan siasatan sendiri dan mendapat maklumat risikan tempatan di negara itu sindiket ini akan berpindah ke Laos dalam masa terdekat dengan modus berbeza,” katanya.

Dakwa Hishamuddin, pihaknya diberitahu, sebuah zon ekonomi khas di lokasi dikenali Segitiga Emas di negara itu mula dijadikan hab operasi sindiket tersebut.

“Difahamkan lokasi itu selamat daripada pihak berkuasa. Saya berharap pihak kerajaan juga tidak ambil mudah perkara ini kerana sasaran mereka adalah rakyat tempatan sehingga kini ramai mangsa adalah dalam kalangan rakyat kita,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast