KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Datuk Zainal Abidin mengaku dia mengambil suntikan botox bagi memastikan kulit wajahnya sentiasa tegang dan kekal awet muda.
Ujarnya yang kini berusia 64 tahun, suntikan tersebut diambil atas faktor statusnya sebagai penghibur yang memerlukan dirinya tampil di khalayak ramai.
“Sebagai seorang penghibur, beginilah kehidupan saya di mana saya berdepan dengan orang ramai dan selalunya, close up. Ditambah pula dengan kecanggihan kamera masa kini. Semuanya 4D dan nampaklah semua kedutan di wajah saya ini.
“Ini adalah demi mendapatkan kulit yang sekata, segar dan sihat. Selagi saya sihat, selagi itu saya masih boleh beraksi di atas pentas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara minum petang iaitu Up, Close & Personal with Datuk Zainal Abidin Bersama Idealyst di Bangsar semalam.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Hijau itu mengakui selepas menjalani rawatan, keyakinannya untuk beraksi di khalayak ramai semakin tinggi.
“Ia adalah untuk karier saya sebab saya hendak bertahan lebih lama. Mereka yang muda, masih muda dan cantik. Jadi, saya hendak penampilan saya nampak sihat.
“Bukanlah jenis yang bengkak sana sini dan jangan dibuat keterlaluan. Pergi kepada doktor yang bertauliah dan bukan pusat kecantikan yang tidak bertauliah kerana tidak selamat,” katanya berterus-terang.
Zainal menambah, dia terbuka untuk melakukan prosedur tarik benang untuk menegangkan bahagian leher sekiranya perlu.
“Bahagian leher saya pula, dah mula nampak macam ayam belanda. Jadi, ia tak elok sekiranya ada gambar atau visual close up.
“Jadi, bagi menghindari masalah itu, saya kena rawat. Tapi, saya belum buat prosedur tarik benang. Mungkin di masa akan datang, saya akan buat sekiranya perlu,” katanya. – MalaysiaGazette