SHAH ALAM – Meskipun berat namun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek komited untuk  meneruskan usaha mengangkat taraf pendidikan negara.

Menurut beliau, keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengekalkannya dalam kementerian berkenaan merupakan satu kepercayaan yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Saya merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya fikir ini amanah yang cukup berat untuk tahun seterusnya dan iltizam kita telah pun kita pamerkan dengan bersunggguh-sungguh untuk memastikan agenda pendidikan kita terus diangkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Selangor Technical Skills Development Centre (STDCX) .

Fadhlina antara menteri yang dikekalkan portfolionya dalam rombakan Kabinet hari ini.

Manakala jawatan Timbalan Menteri Pendidikan yang sebelum ini disandang oleh  Lim Hui Ying ditukar kepada Wong Kah Wong.

Mengulas lanjut Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada Hui Ying yang menjalankan khidmat dengan baik sepanjang setahun membantunya dan mengalu-alukan kehadiran Wong Kah Wong.

“Saya mengalu-alukan kehadiran Ying ke KPM dan kita rakamkan juga terima kasih kepada YB Lim yang bersama dengan kita setahun khususnya memperkukuhkan sistem pendidikan negara khususnya memberikan khidmat kebaktian yang terbaik untuk KPM,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette