KUALA LUMPUR – Konsep Perumahan Inklusif Madani akan dijadikan teras di dalam pembangunan perumahan mampu milik pada masa hadapan.
Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kini kerajaan sedang mengenal pasti tapak-tapak strategik yang bersesuaian untuk pembangunan.
Tambah beliau, sebagai permulaan Projek Rintis Perumahan Inklusif ini akan dilaksanakan di kawasan bandar-bandar utama.
“Peranan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta amat penting untuk menjamin kelangsungan dasar-dasar dan inisiatif Kerajaan supaya dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya, hari ini.
Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) semalam
Sehingga 30 September lalu, sebanyak 423,645 unit kediaman mampu milik sedang dilaksanakan dengan 274,258 unit (54.9%) di peringkat siap dan sedang dibina.
Kata Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadikan penyediaan perumahan mampu milik sebagai agenda utama dalam usaha memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal terutamanya kumpulan B40 dan M40.
Menyentuh mesyuarat MPMMN, Anwar berkata, ia membincang dan menyelaraskan hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara.
Tambah beliau, inisiatif tersebut disasarkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.
“Kerajaan amat positif penyediaan RMM ini dapat direalisasikan sebagaimana yang disasarkan demi menampung bekalan RMM kepada kumpulan sasar di seluruh negara.
“Semua pihak perlu memberikan komitmen yang tinggi dan menggembleng tenaga dalam usaha mewujudkan ekosistem perumahan yang mencerminkan keupayaan, kemampuan dan permintaan sebenar pasaran,” ujarnya.
Menurut Anwar, intervensi kerajaan bagi golongan kumpulan sasar ini amat diperlukan kerana tahap kemampuan mereka masih rendah untuk memiliki rumah pada harga pasaran. – MalaysiaGazette
















