Dr. Ahmad Fauzi Ismail menerima surat lantikan semula daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan semula tiga orang Naib Canselor Universiti Awam (UA) melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pelantikan semula ketiga-tiga Naib Canselor ini bagi membolehkan mereka meneruskan kesinambungan pelaksanaan pelan strategik yang telah dibangunkan dalam memacu pembangunan akademik dan penyelidikan di peringkat universiti masing-masing.

Dato Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM dilantik semula bagi tempoh dua tahun mulai 14 Januari 2024 hingga 13 Januari 2026.

Manakala Prof Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, 54, turut dikekalkan jawatannya sebagai Naib Canselor bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 2 Januari 2024 hingga 1 Januari 2025.

Selain itu, Prof Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, 57, juga dilantik semula sebagai Naib Canselor UTM bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.

Kementerian merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini dan yakin dengan ketokohan serta kewibawaan akademik ketiga-tiga Naib Canselor ini mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan memacu kecemerlangan universiti masing-masing sebagai antara universiti penyelidikan utama negara. – MalaysiaGazette