Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

PETALING JAYA – Polis mengesan pergerakan yang dianalisis daripada beberapa rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik penduduk Apartmen Idaman di Damansara Damai, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya perlu meneliti rakaman itu lebih lanjut bagi untuk membantu siasatan kematian kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

“Bagi menentukan sama ada ia individu atau suspek (dalam dashcam) itu, kita kena tunggu video itu dan buat masa ini kita tidak boleh mendedahkan apa-apa lagi,”katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mayat kanak-kanak autisme itu ditemui di saliran berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman kira-kira jam 10 malam, 6 Disember lalu.

Pada awalnya kematian Zayn Rayyan disiasat sebagai mati mengejut (SDR) namun ia diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh apabila hasil bedah siasat telah menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu. 

Sementara itu, Hussein memberitahu, keputusan operasi pemeriksaan di blok perumahan lain semalam adalah sebahagian daripada mass screening yang dilaksanakan dijangka diperolehi dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Jumlah keseluruhan sampel DNA yang diambil ialah sebanyak 228 sampel,” ujarnya. – MalaysiaGazette