PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) antara agensi penting yang akan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi yang diterajui oleh menterinya, Fahmi Fadzil.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media pertama selepas rombakan Kabinet, Fahmi berkata, pihaknya belum lagi memuktamadkan siapakah yang akan dilantik menjadi Ketua Pengarah JKOM susulan peletakan jawatan oleh Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selepas terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.
“Kita belum lagi adakan sebarang pertemuan dengan pihak JKOM, beri kami sedikit masa lagi untuk muktamadkan beberapa perkara termasuklah jawatan Ketua Pengarah yang baharu,” katanya sebentar tadi.
Selain itu, antara agensi lain di bawah kementerian ini termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen) serta dan MyCreative Ventures.
Dalam pada itu, Fahmi yakin dengan Kabinet baharu yang disifatkan sebagai ‘working cabinet’ yang sudah mula bekerja sejak semalam.
“Perdana Menteri sememangnya berjiwa rakyat apabila mendengar pelbagai pandangan termasuklah teknokrat sehinggalah mantan menteri dan ahli Parlimen masuk dalam Kabinet kali ini.
“Keputusan ini juga agak positif dalam kalangan rakyat, akar umbi dan ahli korporat. Dilantik terus masuk kerja hari ini, tidak ada istilah honeymoon.
“Dengan adanya tokoh-tokoh berpengalaman, mereka semua sudah bersedia berkhidmat untuk rakyat.
“Ini adalah Kabinet bekerja dan sudah pastinya akan memastikan semua perkara dilaksanakan,” ujarnya. -MalaysiaGazette