MELAKA – Sektor pelancongan agro melibatkan koperasi di negeri ini dilihat mampu menjadi cabang baru yang dapat melonjak kedatangan pelancong menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Melaka, Mustafa Kamal Mohd Noor berkata, setakat ini hanya sebuah koperasi komuniti terlibat dalam pelancongan tani berbanding pelancongan perkhidmatan inap desa dan perhotelan.
Menurut beliau, inisiatif Koperasi Pengkalan Batu Berhad (Kopaba) di bawah Masjid Nur Sa’adah, Pengkalan Batu di sini boleh menjadi contoh kepada 469 koperasi berdaftar di negeri ini untuk menambah cabang pendapatan mereka.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 120 koperasi terlibat dalam sektor perkhidmatan perhotelan dan inap desa dan saya melihat usaha Kopaba ini bertepatan dengan TMM2024.
“SKM menjangkakan pendapatan Kopaba dalam program Jerami Desa ini dapat dilonjakkan melalui aktiviti perkhelahan, tanaman herba dan kolam ikan untuk menarik kedatangan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jerami Desa Kopaba di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Kopaba Datuk Amzah Osman.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, semua syarikat koperasi di negeri ini tidak seharusnya mengehadkan perniagaan mereka dalam perkhidmatan pengguna dan kredit semata-mata.
Sementara itu, Amzah berkata, Jerami Desa yang dijangka mula beroperasi bulan depan menawarkan lapan aktiviti utama pelancongan agro.
“Antaranya ialah ‘camping’, ‘glamping’, inap desa, pakej ‘caravan’ sukan lasak ATV dalam sawah, menangkap ikan, mandi air perigi dan makan di restoran terapung sambil menikmati waktu senja.
“Kita jangkakan untuk permulaan, Jerami Desa mampu menjana pendapatan RM25,000 dan membantu mencapai sasaran pendapatan RM1.2 juta setahun meliputi semua cabang perdapatan Kopaba menjelang 2025,” katanya. – MalaysiaGazette