KUALA LUMPUR – Polis telah menahan pemandu pacuan empat roda yang melanggar empat sekeluarga yang menunggang motosikal di Lebuhraya Besraya di persimpangan Puchong.
Rakaman video papan pemuka kenderaan mengenai kemalangan itu tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.
“Kami telah menahan pemandu Ford Ranger, seorang lelaki berusia 21 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya dalam kenyataan.
Kejadian yang menyebabkan penunggang motosikal dan anaknya cedera itu tular di media sosial.
Sarifudin berkata, semasa kejadian motosikal itu dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette