Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan kritikan pembangkang terhadap rombakan Kabinet kerana kecewa tidak dapat berada dalam barisan jemaah menteri.

Apatah lagi, sejak setahun ini pelbagai spekulasi dan dakwaan telah dibuat oleh pembangkang termasuklah menjatuhkan kerajaan Perpaduan namun ianya tidak berlaku.

Sebaliknya, lebih ramai dalam kalangan wakil rakyat pembangkang tampil membuat pendedahan akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang kritik itu golongan yang kecewa tidak dapat jadi menteri, berada dalam barisan Jemaah Menteri. Sebelum ini mereka (pembangkang) cakap akan tubuh kerajaan pada bulan Ogos, kemudian Disember tapi akhirnya tidak ada apapun.

“Akhir sekali kita tengok ramai dalam kalangan wakil rakyat pembangkang sokong Perdana Menteri. Hakikat sebenarnya Kabinet yang ada hari ini jauh lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) sebelum ini,” katanya dengan nada sinis.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertama selepas mesyuarat Jemaah Menteri dengan kabinet baharu hari ini bersama Anwar.

Fahmi menasihatkan pihak pembangkang supaya jangan pendam perasaan.

Mereka diminta segera tampil ke meja rundingan dan memberi fokus kepada  permasalahan rakyat.

Semalam, pemimpin Pas menyindir Anwar yang membesarkan anggota Kabinet daripada 28 kepada 31 orang.

Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari dalam sindirannya berkata: “Waktu dia kecilkan Kabinet: ini bukti kerajaan berjimat, kerajaan lepas hanya tahu membazir.

“Waktu dibesarkan Kabinet: ini bukti kerajaan prihatin.

“Dia sentiasa betul,” kata Fadhli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast