Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda UMNO tidak akan membenarkan impian veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang untuk menyaksikan
pemimpin bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia kata ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Kami akan memastikan impian uncle Lim Kit Siang hanyalah sekadar impian dan tidak akan benarkan ia dilaksanakan selagi kami bernyawa.

“Sila nyatakan impian tersebut pada pihak polis hari ini,” katanya menerusi status di Facebook (FB) rasminya hari ini.

Khamis lalu, Kit Siang berkata, polis sedang mencari beliau susulan kenyataannya di Manchester bahawa Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia sambil berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Beliau merujuk kepada pelantikan bekas Presiden AS, Barack Obama yang menjadi orang kulit hitam pertama dipilih menerajui negara itu, kira-kira 230 tahun selepas AS mencapai kemerdekaan.

Susulan kenyataan kontroversi itu, Kit Siang hari ini tampil memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. – MalaysiaGazette