Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan mahkamah selepas pendegaran permohonan pasport antarabangsanya di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor telah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan semua 17 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ini merupakan kali ketiga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba untuk menggugurkan semua pertuduhan tersebut.

Hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, Rosmah melalui peguamnya, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan representasi paling baharu kepada Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

Kata peguam itu, ada perkembangan baharu dan beberapa hujah perundangan penting juga telah dimasukkan dalam permohonan baharu itu.

Pendakwaan yang diketuai oleh Ahmad Akram Gharib kemudian memberitahu, pihaknya sudah menerima surat tersebut namun memerlukan masa untuk menelitinya.

Firoz juga memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya bermula ini ditangguhkan namun tidak dibenarkan oleh Muniandy walaupun pendakwaan tidak membantah dengan permohonan itu.

Peguam mewakili Rosmah, Amer Hamzah Arshad kemudian memulakan hujah berkaitan kes anak guamnya selama hampir dua jam sebelum memohon penangguhan kerana rasa tidak sihat.

Hakim kemudian menetapkan 16 dan 17 Januari bagi tarikh sambung perbicaraan.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Pada 1 September 2022, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast