Azlan Osman

MELAKA – Pemimpin PKR pusat diharap dapat mengkaji semula jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka supaya ia dapat diberi kepada anak tempatan.

Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tangga Batu, Azlan Osman berkata, cadangan itu bagaimanapun bukan menidakkan keupayaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini.

“Kita bukan hendak persoalkan kewibawaan Aminuddin memimpin negeri ini, tapi alangkah baik sekiranya anak tempatan sendiri mengetuai PKR Melaka untuk melancarkan lagi urusan parti.

“Kami melihat Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat mempunyai banyak tanggungjawab lain yang sedikit sebanyak akan mengehadkan tugasnya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Generasi Berdaya berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi bekas Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Md. Yusof Abdullah di Peringgit di sini semalam.

Mengulas lanjut, Azlan yang juga Ketua PKR Ranting Batang Tiga, berkata, dengan tanggungjawabnya besar itu, pastinya akan menyukarkan Aminuddin  mentadbir Melaka dan Negeri Sembilan dalam satu masa.

“Kita pun tidak mahu membebankan beliau, jadi adalah lebih baik untuk melaksanakan tugas-tugas peringkat bawahan di Melaka ini diberikan kepada anak negeri.

“Sebelum ini kita ada usulkan di peringkat cabang negeri nama-nama individu yang difikirkan layak memegang jawatan itu,” katanya.

Jelasnya, penangguhan terhadap cadangan itu dikhuatiri akan menyebabkan masalah di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung sejak setahun lalu gagal diselesaikan secara baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast