KOTA KINABALU – Kehilangan ibu bapa ketika menyambung pengajian tidak mematahkan semangat graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Phil Ryan Cayongcong, 23, untuk meneruskan pengajian.
Beliau berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dengan Kepujian, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) UMS itu kehilangan ibu akibat kanser payu dara dan bapa yang dijangkiti Covid-19 – asing-masing pada bulan Oktober 2020 dan bulan Ogos 2021.
Menurutnya, menjalani kehidupan sebagai pelajar yatim piatu pada mulanya agak sukar sehingga graduan tersebut berasa sendirian serta kehilangan tempat untuk berkongsi perasaan.
“Sejujurnya, hari ini saya tidak berasa sedih tetapi rasa sedikit kosong kerana tiada kedua ibu bapa di sini. Tapi saya reda dan bersyukur kerana ibu saudara dan adik-adik saya hadir bersama dengan saya di sini.
“Benda yang kita boleh buat dalam hidup adalah untuk tidak memandang ke belakang tetapi mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku.
“Saya tahu saya sudah buat mereka (kedua ibu bapa) berasa bangga. Saya percaya mereka memerhati saya dalam setiap perjalanan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berhasrat membuka sebuah syarikat produksi filem jika berikutan minatnya mendalam terhadap dunia perfileman sejak dari kecil lagi.
Phil Ryan, anak sulung daripada empat orang adik-beradik juga tidak berputus asa untuk meneruskan pengajian kerana beliau percaya bahawa itu adalah hasrat kedua-dua mendiang ibu bapanya.
“Saya sendiri juga mempunyai impian yang ingin dicapai dan saya tidak akan putus asa begitu sahaja. Hidup ini saya kena teruskan.
“Dengan ketiadaan ibu bapa, saya gunakan impian tersebut untuk menolak saya ke hadapan, saya tidak boleh putus asa,” ujarnya.
Ryan merupakan salah seorang daripada 4,236 graduan UMS yang menerima ijazah sempena majlis konvokesyen yang berlangsung dari 11 hingga 14 Disember 2023. – MalaysiaGazette