Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos vaksin penggalak Covid-19 tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu akan melibatkan mereka yang lebih rentan terhadap komplikasi jangkitan virus itu.

Katanya, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54 peratus manakala kadar untuk dos ketiga agak rendah.

“Mungkin dalam masa terdekat, kementerian akan keluarkan arahan mengenai dos penggalak terutamanya bagi golongan rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dilaporkan semalam, jumlah kes Covid-19 meningkat 88 peratus kepada 12,757 minggu lepas, berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

Ujarnya, KKM menyedari mengenai peningkatan jangkitan itu yang mutakhir ini telah mencecah lebih 12,000 kes.

Beliau telah memaklumkan perkara itu ke Kabinet dan situasi tersebut perlu diambil perhatian terutamanya ketika penghujung tahun kerana terkait musim cuti.

“Itu kita faham terkait dengan cuaca, cuti dan dalam keadaan mereka sudah mobilisasi kehidupan. Macam saya, tak pakai mask (pelitup muka) itu juga menjadi punca.

“Kita perhatikan ia adalah wajar diberi perhatian (peningkatan kes jangkitan Covid-19). Cuma apa kita saksikan fasiliti kesihatan ia masih lagi rendah terkawal.

“Contohnya di ICU (Unit Rawatan Rapi) ada peningkatan 1.4 peratus sahaja. Dalam 100,000 kes ia meningkat sikit kepada 3.5 peratus, sikit peningkatan daripada 2.7 peratus,” katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, kesemua itu meletakkan sewajarnya warga Kementerian Kesihatan untuk sentiasa berjaga-jaga pada setiap masa.

Justeru, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk turut berjaga-jaga apabila berada di tempat sesak dengan perlu memakai pelitup muka terutama mereka yang bergejala.

“Bagi yang positif Covid-19 masih ada lagi kuarantin lima hari dan dalam suasana cuti Krismas memang banyak keluar (berziarah). Tapi jangan jadikan itu sebagai alasan untuk kita tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) dalam norma baharu yang kita praktikkan,” ujarnya.

Semalam, KKM dalam kenyataan menjangk berlaku peningkatan kes Covid-19 di negara ini susulan pergerakan dan perjumpaan ketika sambutan Hari Krismas dan tahun baharu yang bakal tiba dan semasa musim cuti sekolah yang akan bermula pada 16 Disember 2023.

Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus. – MalaysiaGazette