KOTA KINABALU – Seorang graduan yang menghidap cerebral palsy sejak lahir tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah.
Sean, 23, yang merupakan anak sulung dari tiga beradik memberitahu, kekurangan fizikal tidak menghalang dirinya untuk meraih kejayaan.
“Bagi saya, kekurangan diri ini bukan penghalang dalam merealisasikan harapan ibu bapa tetapi adalah inspirasi untuk saya mengecapi kejayaan.
“Jangan takut dengan kekurangan diri tetapi takutlah jika tidak mengembangkan potensi diri sendiri.
“Saya juga ingin membuktikan bahawa OKU juga boleh berjaya di peringkat yang lebih tinggi setanding dengan pelajar yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sean berjaya menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Hubungan Industri) dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.42.
Graduan tersebut menerima skrol ijazah yang disampaikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.
Sean yang mengalami masalah pergerakan dan pertuturan yang menyukarkannya dalam pembelajaran mengakui memerlukan bantuan daripada guru-guru dan rakan-rakan.
“Sepanjang persekolahan guru-guru banyak membantu saya dengan menyediakan kemudahan komputer bagi memudahkan saya menjawab peperiksaan.
“Walaupun memegang status OKU, rakan-rakan tidak pernah mengabai dan memperlekehkan kekurangan yang saya alami, malah sering memberi bantuan ketika memerlukan pertolongan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk meneruskan usaha sehingga berjaya menamatkan pengajian. – MalaysiaGazette