Armizan Mohd Ali.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan inisiatif payung Rahmah kerana ia bersifat agenda nasional.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagai menteri yang baharu dilantik menerajui kementerian berkenaan, beliau bertekad untuk meneruskan usaha yang dimulakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, pada Belanjawan 2024 lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi meneruskan payung Rahmah.

“Pastinya, peruntukan 2024 sudah ada iaitu sebanyak RM200 juta untuk kita meneruskan inisiatif ini.

“Hari ini, kita berikan kad diskaun Rahmah kepada pengusaha restoran dan kafe yang menyediakan menu Rahmah.

“Sebulan lalu, kita buka permohonan kad menu Rahmah secara atas talian dan hari ni beberapa syarikat telah menerima kad itu hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Karnival Barangan Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, inisiatif yang dimulakan Allahyarham itu telah menjadi agenda nasional dan bukannya bersifat kementerian semata-mata, malah ia turut membantu memayungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Armizan berkata, inisiatif ini juga akan terus diperluaskan ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), institut pendidikan guru (IPG), politeknik dan kolej pendidikan Mara.

“Pada Dialog Setahun Madani ada permintaan supaya inisiatif termasuk menu siswa Rahmah dilaksanakan di institusi pendidikan tinggi itu,” ujarnya.

Mengulas penganjuran Karnival Barangan Malaysia, Armizan berkata, pihaknya akan bersama kerajaan negeri Perak, Melaka dan Perlis untuk menganjurkan Mini Karnival Barangan Malaysia bersempena tahun melawat negeri berkenaan tahun depan.

“Insya Allah, kita akan ikhtiarkan penganjuran pelbagai siri Karnival dan Mini Karnival Barangan Malaysia ini untuk memberikan sumbangan lebih signifikan dalam menggerakkan agenda ekonomi negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast