GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan merompak lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) di lorong belakang People Court’s, Lebuh Cintra di sini pada 7 Disember lalu.

Tertuduh, P. Elaango, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, Elaango didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik seorang lelaki OKU berusia 67 tahun iaitu wang tunai berjumlah RM80 serta sebuah telefon bimbit jenis Nokia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong belakang People Court’s dalam daerah Timur Laut pukul 6 petang pada 7 Disember lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Bagi perbuatan tersebut, lelaki itu didakwa mengikut Sekyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Nurnajihatul Idayu mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau menganggu mangsa yang merupakan seorang OKU fizikal yang mana memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dalam apa cara sekali pun.

Tertuduh merompak harta milik OKU berusia 67 tahun.

Mahkamah turut menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan pelantikan peguam. – MalaysiaGazette