GEORGE TOWN – Seorang pemandu lori yang membawa muatan cat nyaris maut selepas kenderaan berat itu terbakar secara tiba-tiba di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menghala ke Batu Kawan di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukjul 1.17 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati sebuah lori satu tan sedang hangus dijilat api manakala pemandu telah berjaya menyelamatkan diri.
“Susulan itu, pihak bomba melakukan operasi memadamkan api dan hampir 80 peratus lori itu musnah akibat kebakaran tersebut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.28 petang,” katanya dalam kenyataaan hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan pemandu berkenaan dalam perjalanan menghantar bekalan cat kepada sebuah syarikat di Batu Kawan.
Lelaki itu dikatakan sempat menyelamatkan diri selepas melihat kain kanvas pada lori tersebut terbakar dan anggaran nilai cat yang dibawa berjumlah RM8,000. – MalaysiaGazette