religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP yang keluar parti, P. Ramasamy menggesa tiga timbalan menteri berketurunan Tamil dalam Kabinet Kerajaan Madani supaya meletakkan jawatan.

Ramasamy yang telah keluar daripada DAP beberapa bulan lepas berkata, tindakan itu sebagai protes berikutan tidak terdapat seorang pun dalam kaum Tamil dilantik sebagai menteri penuh.

Mereka adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M. Kulasegaran dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator K. Saraswathy.

“Malah saya meminta Ramanan, Kulasegaran dan Saraswathi Kandasamy yang dilantik sebelum ini untuk melepaskan jawatan mereka sebagai protes terhadap tidak pelantikan menteri India.

“Peletakan jawatan mereka akan disayangi oleh masyarakat India. Saya rasa ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima daripada ‘penjilat’ ini,” dakwa Ramasamy dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mendakwa, pelantikan Ramanan dan Kulasegaran hanya untuk menenangkan masyarakat India berikutan ketiadaan seorang pun menteri daripada keturunan Tamil.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu tidak mampu mengantikan tempat V. Sivakumar yang telah digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia dalam rombakan Kabinet yang diumumkan pada Selasa lalu.

“Pelantikan Kulasegaran adalah penurunan pangkat kerana beliau sebelum ini menjadi menteri dalam kerajaan PH.

“Dia tidak sepatutnya menerima penurunan pangkat ini, tetapi dia terus menerimanya dengan gembira dengan berterima kasih kepada Anwar kerana mempercayainya,” katanya.

Sementara itu, Ramasamy mendakwa, keputusannya meninggalkan DAP bukan kerana digugurkan sebagai calon pada pilihan raya negeri lalu.

Sebaliknya, tindakannya meninggalkan DAP kerana ada kaitan dengan bagaimana politik berbilang kaum digunakan oleh DAP untuk tujuan politik tertentu.

“Kenaikan kepada kuasa dan jawatan bermakna parti itu tidak mempunyai perjuangan yang bermakna terutamanya bagi kaum bukan Melayu di negara ini.

“Parti itu tidak lain hanyalah kekecewaan besar bagi masyarakat India yang terpinggir dan didiskriminasi.

“Inilah sebab mengapa saya merasakan bahawa tinggal dalam parti itu tidak masuk akal,” katanya. – MalaysiaGazette