Megat Jalaluddin Megat Hassan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah melantik Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Mac 2024.

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Megat Jalaluddin dilantik oleh pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac 2024 hingga 29 Februari 2026.

Megat Jalaluddin, 58, yang ketika ini merupakan ketua pegawai operasi kumpulan akan menggantikan Datuk Seri Baharin Din.

“Baharin akan melepaskan jawatan beliau sebagai presiden/CEO TNB serta jawatan pengarah di anak syarikat berkaitan dalam kumpulan syarikat TNB,” menurut TNB dalam makluman berasingan.

Megat Jalaluddin membina kerjaya di TNB dengan berkhidmat dalam pelbagai jawatan kejuruteraan dan pengurusan syarikat termasuk perancangan perniagaan dan strategik, pembangunan perniagaan, pengurusan projek, pembaikan proses perniagaan, perkhidmatan permeteran dan perkhidmatan kejuruteraan. – Bernama