GAZA CITI – Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam mendakwa telah membunuh seramai 36 tentera Israel dan menyebabkan berpuluh kecederaan dalam tempoh tiga hari lalu.
Pengumuman itu dikeluarkan dalam satu kenyataan daripada jurucakap al-Qassam, Abu Ubaida yang disiarkan di Telegram.
Beliau turut mendakwa pasukannya telah berjaya memusnahkan 72 kenderaan tentera Zionis dalam tempoh tersebut.
“Pejuang juga berjaya merampas peralatan dan barangan daripada beberapa tentera Israel selepas menyasarkan dan melibatkan mereka dari jarak dekat. Operasi penembak tepat juga dilakukan terhadap tentera Israel,” katanya.
“Pasukan Al-Qassam menyasarkan markas komando medan Israel, mengebom tentera yang berkumpul dengan peluru mortar dan peluru berpandu jarak dekat merentasi semua zon tempur, dan melancarkan serangan roket ke arah pelbagai sasaran,” tambahnya.
Isreal dalam pengumuman terbaharu berkata, hanya 116 tenteranya terbunuh selepas operasi darat dilaksanakan di Gaza sejak akhir Oktober lalu. – Agensi