Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melakukan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia perlu dilaksanakan lebih awal berbanding menunggu sehingga 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurut beliau, berdasarkan tempoh yang diberikan oleh kerajaan, kajian SSPA yang bermula Julai lalu dijangka dapat dimuktamadkan pada Oktober 2024 manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada 2025.

“CUEPACS berpendapat tempoh tersebut terlalu lama.

“Kerajaan sewajarnya memberi keutamaan yang tinggi dalam isu ini kerana ia membabitkan isu kebajikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited meneliti kajian SSPA secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa.

Adnan memberitahu, tempoh masa yang ditetapkan untuk melaksanakan SSPA baharu iaitu pada 2025 juga tidak jelas dan bergantung sepenuhnya kepada situasi kewangan negara ketika itu.

Beliau menambah, tempoh tersebut juga terlalu lama dan wajar disegerakan bagi membantu penjawat awam serta pesara menghadapi kos sara hidup semasa.

“Sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima penjawat.

“Situasi ini mengakibatkan ada penjawat awam dan pesara yang tertekan serta tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar,” jelasnya.

Adnan berkata, penjawat awam ketika ini memerlukan sebuah sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan pada 2002 bagaikan kerangka ‘rumah lama’ yang sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Tiada gunanya jika kita mampu mencapai purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025 seperti yang disasarkan melalu Rancangan Malaysia Ke-12 sekiranya nasib golongan pekerja bawahan dan menengah masih lagi terhimpit dengan kadar gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya. – MalaysiaGazette