Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyangkal dakwaan dua mayat wanita Orang Asli, Erra Fazira Hamzah dan Wak Sai Bah Ema tidak dapat dihantar pulang untuk disemadikan oleh ahli keluarga masing-masing berikutan tiada kenderaan pihak berkuasa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, proses itu dilakukan sejak semalam walaupun berlaku sedikit kelewatan akibat kenderaan rosak.

Menurutnya, kereta jenazah sudah bertolak Kampung Lenjang dan Kampung Senderut di Lipis hari ini selepas selesai urusan dokumentasi di Unit Forensik.

“Isu ini sebenarnya JAKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli) sudah selesaikan dengan menghantar kenderaan jenazah dari JAKOA Pekan kerana mempunyai kenderaan jenazah terhad tapi kenderaan sudah bergerak ke Hospital Lipis pada malam tadi.

”Semalam JAKOA Lipis cuba cari kenderaan jenazah daripada pihak sukarelawan dan sewaan akan tetapi disebabkan jenazah tersebut kematian Covid-19 dan perlu hantar ke pedalaman maka tiada siapa yang sanggup uruskan.

”Sebab itulah berlaku kelewatan penghantaran dan pihak kami pun terkejut bila wartawan keluarkan berita ini walaupun masih dalam tindakan JAKOA. Tambahan pula kereta jenazah di Pekan semalam ada tugas lain serta dibaiki di bengkel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi ketika dihubungi mengingatkan orang ramai agar menghentikan spekulasi berkaitan isu berkenaan sebaliknya memahami situasi bagi urusan menghantar mayat ke pedalaman bukan semudah seperti di kawasan biasa.

”Ia memerlukan persediaan yang lengkap dan kenderaan mestilah berada dalam keadaan yang terbaik supaya tidak tersadai di tengah-tengah hutan belantara.

”Sekiranya kenderaan berada dalam keadaan baik maka jenazah boleh dihantar segera namun kadang- kala terpaksa memakan masa sehingga duahingga tiga hari untuk dibawa pulang kerana faktor faktor tidak dapat dielakkan.

”Pihak JAKOA boleh melantik konsultan bagi menguruskan jenazah tetapi konsultan ini hanya berupaya untuk membawa jenazah ke simpang kampung sahaja dan waris perlulah mengambilnya sendiri untuk di bawa ke dalam,” katanya.

Tambah Johari, bagi mengatasi masalah yang membebankan keluarga, maka pihak JAKOA Pahang mengambil keputusan untuk mengurusknnya sendiri walaupun memakan sedikit masa.

Untuk rekod, JAKOA Pahang telah menguruskan lebih 300 pengangkutan jenazah membabitkan orang asli sejak 2017. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast