Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengarahkan peguamnya meneruskan tindakan pelaksanaan ke atas Ahmad Dusuki Abdul Rani kerana gagal melunaskan kos mahkamah berjumlah RM23,000.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, pegumanya telah menghantar surat tuntutan kepada Ahmad Dusuki pada September dan Oktober lalu berhubung tuntutan tersebut.

“Peguam saya telah dua kali menghantar surat tuntutan kepada Ustaz Dusuki untuk beliau mematuhi arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang telah diperintahkan tersebut, beliau masih lagi ingkar, enggan dan gagal berbuat demikian.

“Malah dalam beberapa posting di Facebooknya, beliau masih lagi mempertikaikan keputusan mahkamah yang menolak saman tersebut walaupun beliau sendiri yang menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya,” kata Mujahid dalam kenyataan.

Tambah beliau, peguamnya telah memfailkan Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut jumlah kos yang masih belum dibayar.

Sebanyak empat percubaan telah dibuat untuk menyerahkan saman kepada Ahmad Dusuki tetapi beliau didakwa enggan untuk menerimanya walaupun temujanji telah dibuat.

Mujahid bertegas, peguamnya akan terus menggunakan segala ruang undang-undang untuk menyerahkan saman bagi menuntut Ahmad Dasuki patuh kepada arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang diperintahkan.

“Suka saya ingatkan bahawa itu adalah satu hutang yang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar oleh beliau.

“Saya telah mengeluarkan perbelanjaan dan kos yang banyak untuk membela diri saya terhadap tuntutan beliau yang akhirnya mahkamah telah memutuskan bahawa tuntutan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bermerit sama sekali.

“Sebagai orang yang arif tentang hukum-hakam syarak khususnya yang berkaitan dengan hutang-piutang seharusnya beliau memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dan tidak bersifat angkuh dan tidak peduli seperti ini,” kata beliau.

Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas itu menarik balik rayuan saman fitnah terhadap Mujahid berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset Tabung Haji (TH).

Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah yang dikemukakan Ahmad Dusuki itu dengan kos RM11,000.00.

Ahmad Dusuki yang tidak berpuas hati kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya turut ditolak tersebut dengan kos RM7,000.

Di Mahkamah Rayuan, Ahmad Dusuki kemudian menarik balik rayuannya dan diarahkan membayar RM5,000 sebagai kos kepada Mujahid.- MalaysiaGazette