Serbuan Atipsom di kilang kitar semula barang terpakai di Rawang menyelamatkan dua warga asing dijadikan buruh paksa oleh majikannya dalam serbuan semalam.- Gambar ihsan AtipsomBukit Aman.

RAWANG – Dua warga asing yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa di sebuah kilang kitar semula barangan terpakai di Perindustrian Kundang di sini berjaya diselamatkan oleh polis semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua mangsa itu telah diselamatkan oleh pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Operasi dilakukan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.

Katanya, pihaknya telah melaksanakan operasi Op Pintas Bersepadu di kilang yang telah beroperasi sejak setahun tanpa lesen itu kira-kira pukul 4.10 petang.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, pasukan berjaya menyelamatkan dua mangsa yang dieksploitasi sebagai buruh paksa di kilang itu iaitu seorang wanita warga Myanmar dan lelaki Indonesia masing-masing berusia 22 dan 28 tahun.

“Semasa serbuan, mangsa wanita ditemui di dalam sebuah bilik di tingkat satu kilang berkenaan dalam keadaan menangis serta ketakutan.

“Temu bual awal telah dijalankan menggunakan penterjemah mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar serta tidak menerima gaji selama lebih empat bulan daripada majikannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Soffian berkata, mangsa kedua, lelaki warga Indonesia pula didapati telah bekerja selama lebih kurang setahun di kilang kitar semula itu sebagai buruh paksa.

Lelaki berkenaan telah kehilangan satu jari tengah di tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja sebelum diabaikan oleh majikan kerana tidak menerima rawatan yang sepatutnya.

Tambah Soffian, atas syak yang munasabah, mangsa adalah orang yang diperdagangkan di bawah Seksyen 12 Akta Atipsom berdasarkan kepada indikator seperti waktu kerja yang panjang, tidak dibayar gaji melebihi tiga bulan serta pengabaian oleh majikan.

“Susulan itu, polis telah berjaya menahan dua lelaki warga China yang berperanan sebagai penyelia kilang itu serta pembantunya untuk membantu siasatan lanjut.

“Dalam operasi sama, kita juga berjaya menahan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita yang terdiri daripada tiga warga Myanmar, empat warga China, tujuh warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh.

“Kita juga menerusi pemeriksaan lanjut berjaya merampas lima kad kerja, satu telefon bimbit serta satu alat kawalan jauh pintu pagar,” ujarnya.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette