Seramai 30 wanita warga asing termasuk yang berusia 59 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti pelacuran dalam serbuan di tiga premis sekitar ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 wanita warga asing termasuk yang berusia 59 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti pelacuran dalam serbuan di tiga premis sekitar ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukankan di Jalan Pasar Baharu, Jalan Pudu dan Jalan Imbi bermula pukul 7.45 hingga 11.40 malam.

Hasil serbuan berjaya menahan wanita warga asing berusia 23 hingga 59 tahun.

Sehubungan itu, polis juga merampas sebanyak 100 keping kondom, 14 gulung tisu, tuala mandi (16), tisu basah (16), losyen (4), tiub pelincir (3), sekeping kad akses dan wang RM400,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-260 0222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette