Hafidz dan Athira melangsungkan pernikahan di Glass House Event Space Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Hafidz Roshdi menamatkan zaman duda dengan wanita pilihannya iaitu Athira Yuhada selepas melalui pelbagai kontroversi.

Pasangan berkenaan melangsungkan pernikahan di Glass House Event Space Shah Alam dekat sini hari ini.

Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 29, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 kepada Athira.

Pelakon berkenaan berkongsi foto dan video majlis tersebut di Instagram yang memperlihatkan pasangan pengantin lengkap berpakaian putih di atas pelamin.

“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas.

Sebelum ini, tular kad undangan majlis penikahan Hafidz dan Athira yang bakal berlangsung di sebuah dewan di Selangor yang bertarikh 16 Disember.

Menerusi undangan tersebut tertera nama lengkap Hafidz dan Athira berserta tarikh, masa dan lokasi perkahwinan mereka.

Nama Athira sebelum ini menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen apabila dia didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga Hafidz dengan bekas isterinya, Nurul Shuhada.

Untuk rekod, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar berusia tiga tahun.

Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai pada 27 Julai lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan lafaz yang dibuat pada 22 Februari adalah sah. – MalaysiaGazette