Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido menyertai kem latihan pusat bermula 19 hingga 27 Disember ini.

Ia adalah sebahagian persiapan menjelang kempen Piala Asia B23 2024 yang dijadualkan berlangsung di Qatar pada April tahun depan.

Para pemain akan melapor diri pada Selasa ini sebelum dijadual berlepas ke Shanghai, China pada Khamis depan bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2.

Mereka akan menentang China B-23 di sana pada 23 dan 26 Disember ini sebelum kembali ke tanah air pada hari berikutnya.

Tiga pemain yang tidak menyertai kem latihan pusat terdahulu pada 13 hingga 21 November 2023 berada dalam senarai iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Ruventhiran dan Alif Zikri Zaini Anuar.

Kehadiran mereka bagi mengisi ketiadaan Ubaidullah Shamsul Fazili, Adam Farhan Mohd Faizal dan Haqimi Azim Rosli yang tidak dapat menyertai kem kali ini kerana masalah kecederaan.

Bagi kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April 2024.

Ia adalah kumpulan yang sukar dan bakal memberi cabaran getir kepada anak buah Garrido untuk memburu slot ke pusingan kalah mati. Mereka perlu mara hingga ke peringkat separuh akhir.

Hanya tiga pasukan teratas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala tempat keempat akan ke pusingan playoff menentang wakil Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Ini penampilan ketiga skuad negara di Piala Asia B-23 selepas  2018 dan 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast