Maqis Selangor merampas produk hasilan haiwan dan pertanian dari Korea kerana tiada permit import sah di Pelabuhan Klang, pada Selasa. Gambar: Maqis

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 158 kotak mengandungi sosej babi, kepingan daging babi, daging lembu dan ginseng dari Korea di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat pada Selasa lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan dilakukan selepas pemeriksaan ke atas sebuah kontena kira-kira 3.30 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati sebuah syarikat tempatan membawa masuk produk hasilan haiwan dan pertanian dari Korea itu tiada permit import yang sah dikeluarkan oleh Maqis.

“Dalam siasatan itu, kita mendapati terdapat daging lembu, sosej babi, kepingan daging babi dan ginseng di dalam kontena berkenaan tanpa permit import.

“Justeru, kita merampas 158 kotak produk berkenaan dianggarkan bernilai RM40,087.50,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). – MalaysiaGazette