Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16).

Keyakinan itu bersandarkan sokongan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Undi penjawat awam kepada kita (sebelum ini) begitu parah susulan wujud dakwaan kerajaan akan bertukar selepas pilihan raya (PRN) di enam negeri (tetapi) selepas tidak ada pertukaran kerajaan.

“Saya yakin selepas empat tahun (PRU-16) kerajaan tidak (akan bertukar) dan penjawat awam akan bersama (menyokong) kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di Bangsar South hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, bank undi yang dimiliki PH-BN berdasarkan kepada negeri-negeri berikut antaranya Sarawak, Johor, Melaka serta Pulau Pinang yang masih menyokong kerajaan sekarang.

“Lihat (kepada) perkembangan politik dan suasananya kita insya-Allah (kerajaan akan) cukup majoriti untuk bentuk kerajaan (selepas PRU-16).

“Tapi bagaimana di Terengganu, Kelantan, Kedah Perlis, empat negeri ini? Kita hanya ada satu Parlimen iaitu Sungai Petani. Ertinya kita tidak boleh terus menjadi kerajaan tanpa sokongan orang Melayu dan orang Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette