Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan Sistem MyPKD untuk menambah baik dan meningkatkan lagi kecekapan pengoperasian dan pengurusan Pusat Komuniti Desa (PKD) seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Timbalan menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, PKD akan sentiasa memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pelaksanaan teknologi maklumat yang telah dibangunkan dan disediakan di PKD.

Malahan sejumlah RM4 juta diperuntukkan kepada KKDW menerusi Belanjawan 2024 untuk meneruskan program dan aktiviti di Pusat Komuniti Desa (PKD) dalam usaha merapatkan jurang teknologi digital sekaligus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat di luar bandar.

“Lanjutan itu, dengan sistem MyPKD akan mempergiatkan lagi perkhidmatan atau program berbentuk ICT agar masyarakat luar bandar boleh mengadaptasikan kebiasaan baharu dengan keperluan digitalisasi dalam kehidupan,” katanya ketika merasmikan program siri ketiga hari ini di Asajaya, Kota Samarahan, Sarawak.

Menurut Rubiah yang Ahli Parlimen Kota Samarahan, sehingga bulan November 2023, sebanyak 6,780 program telah dilaksanakan oleh PKD di seluruh negara yang memanfaatkan kira-kira 165,590 orang penduduk luar bandar di seluruh negara khususnya di sekitar lokasi PKD tersebut.

Di Sarawak khususnya, sejak tahun 2021 hingga kini, sebanyak 162 program telah dilaksanakan oleh PKD Negeri Sarawak melibatkan kira-kira 3,585 orang penduduk luar bandar di khususnya

Selari dengan konsep ‘Satu Perhentian Pelbagai Perkhidmatan’, peranan dan fungsi PKD terus diperkasakan dengan pengenalan Program PKD Mobile sebagai salah satu quick wins KKDW bagi memperluas perkhidmatan PKD sedia ada termasuk perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan dan swasta dalam bentuk kaunter perkhidmatan yang akan bergerak ke kawasan-kawasan luar bandar yang terpilih.

Tiga siri program reach out kementerian ini dirancang dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta sebagai rakan strategik dalam penganjuran program pada tahun ini.

PKD Mobile siri pertama telah di laksanakan pada 14 Oktober 2023 di Gerik, Perak, manakala program di Nabawan, Sabah pada 18 November 2023 menjadi siri kedua.

Manakala program siri ketiga diadakan pada hari ini di Asajaya di Kota Samarahan, Sarawak.

Program PKD Mobile diadakan dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Selain daripada kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta, pihak KKDW dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut mengadakan Jualan Madani Koperasi yang menawarkan harga barang keperluan harian yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Sebanyak 23 agensi kerajaan dan swasta turut mengambil bahagian dalam program pada hari ini selain aktiviti peningkatan kemahiran dan pengukuhan modal insan turut diadakan menerusi aktiviti pocket talk dan juga latihan kemahiran berkaitan hidroponik serta decoupage turut dilaksanakan khusus untuk penduduk di lokasi penganjuran program.

KKDW komited dalam memastikan program PKD Mobile ini mampu memberikan impak dan manfaat kepada masyarakat desa serta merancang program-program bersesuaian untuk masyarakat desa menerusi penganjuran PKD Mobile pada tahun 2024.

Dalam pada itu, KKDW akan terus melaksanakan pelbagai program di PKD termasuk latihan dan aktiviti komuniti yang memfokuskan pemerkasaan modal insan bagi memberi peluang serta pendedahan kepada masyarakat luar bandar dalam meningkatkan kualiti hidup melalui pembangunan keupayaan dan pembudayaan keusahawanan menggunakan fasiliti serta kemudahan yang disediakan di PKD .

Sehingga kini terdapat 191 PKD di seluruh negara termasuk 15 PKD di Sabah dan enam di Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast