KUALA LUMPUR – Sebuah pusat beli-belah di Puchong dekat sini dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Selain air memasuki premis, puluhan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir turut terjejas susulan air naik di kawasan itu.

Unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Puchong sekitar pukul 6.45 petang.

Menerusi notis yang dikeluarkan, Unit Pengurusan Bencana MBSJ meminta semua agensi untuk membuat persediaan dan bantuan.

“Semua agensi terlibat pengurusan bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan operasi bantuan di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Semua pengguna jalan raya juga diminta untuk tidak menggunakan laluan berkenaan. Penduduk berdekatan diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan pusat beli-belah berkenaan dinaiki air.

Pengunjung yang berada di lokasi terpaksa meredah air untuk ke parkir kenderaan.

Seorang pengguna media sosial mendakwa pembukaan jalan baharu di depan kawasan itu menyebabkan saluran longkang tersumbat seterusnya menjadi punca kepada banjir kilat yang berlaku. – MalaysiaGazette