Anggota polis memeriksa motosikal yang ditahan di Lebuhraya SUKE malam tadi.

 

KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan 102 keping saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Motosikal di sekitar kawasan Jalan Tasik Permai, Ampang dan Lebuhraya SUKE lewat malam tadi.

Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya itu turut menahan 19 buah motosikal untuk proses dokumentasi dan proses panggil pemilik.

Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

Ketua Polis IPD Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mereka yang ditahan ini kerana tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah, brek tidak berfungsi dengan baik dan juga kesalahan-kesalahan lain.

“Operasi dijalankan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya motorsikal yang ditunggang oleh warganegara asing.

“Selain itu, operasi ini juga menumpukan perhatian kepada golongan remaja yang sering dilihat melakukan pengubahsuaian pada struktur kenderaan yang digunakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

Elakkan daripada memberikan kenderaan kepada warga asing untuk digunakan tanpa lesen memandu yang sah. Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang. – MalaysiaGazette