KUALA LUMPUR – Dua Rekod Dunia Guinness (GWR) berjaya dicatatkan pada Final Cabaran Dew 2023 yang dianjurkan oleh Mountain Dew di Sentul Depot, di sini, semalam.

Rekod pertama iaitu ‘Perkataan Paintball Terbesar’ melibatkan cubaan menggunakan 4,715 pelet paintball bagi membentuk perkataan ‘DEW’, diikuti cubaan ‘Menembak Paintball Serentak Paling Ramai’ dengan 298 orang menembak sasaran selama 10 saat.

Pengadil GWR, Kazuyoshi Kirimura mengisytiharkan kedua-dua percubaan itu berjaya.

Naib Presiden Pemasaran Etika, syarikat pengeluar, pengedar dan pemasaran Mountain Dew di Malaysia, Amy Gan berkata, cubaan mencatat dua rekod itu bertujuan meletakkan nama Malaysia di peta dunia.

“Ia merupakan rekod dunia, jadi kami telah meletakkan Malaysia dalam sejarah dunia selain sejarah paintball. Kami sentiasa berinovasi dan inginkan sesuatu inisiatif yang bersejarah selain turut melibatkan pelanggan kami.

“Justeru, kami sangat gembira dapat mengumpulkan rakyat Malaysia untuk memecahkan rekod ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, lebih 5,500 orang turut serta dalam kejohanan Cabaran Dew ‘Player Unknown’s Battlegrounds’ (PUBG) tahun ini yang terdahulu diadakan di empat wilayah –  Timur, Utara, Selatan dan Tengah.

Pada final semalam, kira-kira 1,000 orang menyertai cabaran adrenalin yang menggabungkan saingan dalam talian dan luar talian bagi merebut hadiah keseluruhan RM200,000. – Bernama