PUCHONG – Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mengerumuni dan datang secara berkumpulan di kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan 3, di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, ini kerana dikhuatiri masih berlaku pergerakan dalam tanah dan berisiko untuk runtuh semula.
“Saya harap masyarakat bersabar tuan rumah yang terlibat, kita tunggu arahan selanjutnya.
“Saya juga nasihatkan masyarakat sekeliling di sini agar tidak datang secara berkerumun untuk melihat keadaan.
“Ini kerana kerja-kerja baik pulih iaitu mitigasi sedang berlaku, mungkin ada jentera besar berada di kawasan sini
“Saya tak nak masyarakat membebankan kerja-kerja mitigasi ini,” katanya pada sidang media di pos kawalan tempat kejadian, di Taman Wawasan 3, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 7.26 petang semalam melibatkan sembilan kediaman berhampiran kawasan runtuhan di Taman Wawasan 3, di sini.
Runtuhan tanah itu melibatkan kawasan seluas 50 meter (panjang), 60 meter (lebar) dan 3 meter (kedalaman).
Ketika ditanya tentang keselamatan harta benda sembilan rumah terbabit, beliau berkata, pihaknya akan mengawasi kawasan itu sehingga kerja-kerja baik pulih selesai.
“Kita bersyukur tidak ada kejadian yang melibatkan nyawa, dari segi harta benda kita akan jaga kawasan daripada diceroboh mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, mana-mana penghuni rumah terjejas boleh datang semula rumah mereka untuk mengambil barang peribadi dengan kebenaran polis sahaja.
“Kalau ada penghuni rumah yang ingin mengambil barang, dokumen dan sebagainya, sila berhubung dengan polis yang menjaga kawasan ini dahulu
“Kita akan lihat kesesuaian dan keselamatan untuk membenarkan mereka mengambil barang.
“Mereka tak boleh masuk ikut pintu depan, tapi pintu belakang masih ada boleh akses, kita akan lihat, kalau selamat baru kita benarkan masuk,” katanya. – MalaysiaGazette