KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan inisiatif perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Klang sebagai pengangkutan alternatif dalam usaha memperkasakan kesalinghubungan pengangkutan awam.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perincian mengenai pelaksanaan insiatif itu, yang menyasarkan perkhidmatan di kawasan batuan pertama dan terakhir yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam, akan diumumkan kelak.
Beliau berkata, sebahagian peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah Belanjawan 2024 akan digunakan untuk membeli van dan pengoperasiannya akan diselia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
“Van ini sebagai usaha menyelesaikan isu pengguna batuan pertama dan batuan terakhir… kita faham tak semua kawasan perumahan ada laluan bas.
“Konsepnya seperti e-hailing. Perkhidmatan itu tiada laluan khas, namun kita akan tempatkan di kawasan yang strategik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.
Loke berkata, menerusi inisiatif itu, MOT juga berhasrat agar Prasarana menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan DRT untuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan.
Dalam pada itu, MOT dijangka membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) berhubung kesalahan memandu di lorong bas pada tahun hadapan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan lorong itu serta mengelakkan laluan khas itu terus disalahgunakan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, pindaan itu akan membolehkan pegawai penguat kuasa mengeluarkan kompaun berdasarkan kesalahan yang dirakam kamera pemantauan.
“Sekarang ini kita hanya meletakkan pegawai penguat kuasa seperti polis trafik dan anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di lorong-lorong bas untuk memastikan tiada pengguna lain salah guna laluan itu.
“Cara ini kita lihat kurang efektif, kita menuju ke arah penguatkuasaan pintar iaitu menggunakan alatan pengimbas nombor kenderaan persendirian yang menggunakan laluan bas… ini kita akan laksanakan kemudian,” katanya.
Loke berkata, ketika ini MOT akan meneruskan usaha advokasi larangan penggunaan laluan bas bagi kenderaan persendirian dan kaedah itu dijangka diteruskan dalam tempoh setahun sebelum penguatkuasaan saman atau kompaun dimulakan bagi kesalahan itu. – Bernama