PETALING JAYA – “Semakin kamu besarkan sabarmu, maka semakin besar Allah siapkan kebahagiaan untukmu,”.

Itu antara nukilan ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang meninggal dunia akibat dibunuh baru-baru ini.

Ismanira Abdul Manaf, 28, menerusi akaun Instagramnya hari ini berkongsi gambar pusara anak sulungnya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara.

“Semoga Allah memberi kita kekuatan dan kesabaran serta pertolonganNya. Aamiin aamiin ya rabb ya mujib,” tambah wanita itu.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut mendoakan agar pembunuh Zayn Rayyan diberkas.

Hari ini, masuk hari ke-11 polis mencari bukti dan petunjuk baru siasatan pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Sehingga kini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, tiada sebarang petunjuk baru ditemukan berkenaan siasatan kes tersebut.

Namun katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak yang hilang pada 5 Disember sebelum ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Blok R, Apartmen Idaman, Damansar Damai.

Berikutan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur jenayah. -MalaysiaGazette