Norkamawati Kamal

KUANTAN – Sebanyak 4,092 aduan merangkumi pelbagai isu di sekitar daerah ini telah diterima Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tahun ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata. daripada jumlah itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 3,655 aduan bersamaan 89.3 peratus.

Manakala bakinya sebanyak 437 aduan bersamaan 10.7 peratus masih dalam tindakan pengurusan bagi tujuan penyelesaian.

”Aduan yang diterima paling tinggi berkaitan kerosakan jalan iaitu sebanyak 814 aduan diikuti sebanyak 794 aduan berkaitan haiwan berkeliaran,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, sebanyak 138 aduan telah diterima berkaitan binaan bangunan selain 120 aduan pelbagai isu berkaitan dengan ubahsuai kediaman.

Tambah Norkamawati, seramai 67 pemilik kediaman telah merobohkan sendiri struktur binaan tambahan rumah mereka susulan tidak mendapat kelulusan daripada MBK selepas menerima notis arahan daripada pihaknya.

MBK dalam proses penyediaan kertas untuk tindakan pendakwaan atas pelbagai kesalahan.

Pihaknya tidak akan berkompromi kepada pesalah yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette