Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi pembeli bersih ekuiti domestik berjumlah RM143.4 juta selepas melakukan jualan bersih minggu sebelumnya.

Aliran masuk asing bersih ke Bursa Malaysia bermula pada Khamis berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah, kata MIDF Reserach.

Pelabur asing membeli RM125.3 juta ekuiti tempatan pada hari Khamis dan RM190.2 juta pada hari Jumaat, berbanding menjual sebanyak RM172.0 juta dari hari Isnin hingga Rabu.

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah utiliti (RM91.2 juta), penjagaan kesihatan (RM65.9 juta) dan teknologi (RM33.5 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM66.8 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (-RM21.2 juta) dan tenaga (-RM19.2 juta).

Manakala pelabur institusi tempatan terus menjadi pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, tetapi jumlah berkurangan kepada RM82.0 juta, berbanding minggu sebelumnya RM194.0 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, sektor yang merekodkan belian bersih seperti perladangan (RM58.6 juta), penjagaan kesihatan (RM55.1 juta) dan perkhidmatan kewangan
(RM51.0 juta).

Sementara itu, pelabur runcit tempatan beralih kepada penjual bersih ekuiti domestik dengan jualan sebanyak RM225.5 juta, selepas dua minggu menjadi pembeli.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara menyeluruh iaitu peruncit tempatan (+22.7%), institusi tempatan (+31.9%) dan pelabur asing (+62.8%). – MalaysiaGazette