Anggota Polis dan orang awam melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan dahan pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Wawasan, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2022.

PUCHONG – Jabatan Mineral & Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun & Forensik) masih menjalankan pemeriksaan di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 Taman Wawasan, Puchong yang menjejaskan sembilan kediaman.

Pengerusi Bencana Daerah Petaling Rahilah Rahmat berkata, dalam masa yang sama, kerja-kerja menanam cerucuk besi turut diteruskan hari ini bagi menstabilkan kedudukan tanah.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke lokasi tanah runtuh hari ini bersama petugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Menurut beliau, pusat pemindahan sementara bagi menempatkan 29 orang penghuni kediaman yang terjejas telah ditutup  jam 9 malam tadi selepas mereka berpindah ke rumah saudara-mara.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata sehingga kini sebanyak 46 cerucuk besi telah ditanam sejak semalam dan kerja-kerja akan disambung hari ini.

Tinjauan MalaysoaGazette hari ini mendapati terdapat beberapa penduduk yang kediamannya terjejas datang ke Pos Kawalan Tempat Kejadian untuk mengambil barang-barang keperluan.

Salah seorang penduduk, Lai Siow Yik berkata, kejadian tanah runtuh pada Sabtu merupakan yang pertama kali berlaku sepanjang beliau menetap di situ selama 30 tahun.

Jurujual itu mengharapkan kawasan perumahan itu dapat dipulihkan semula.

“Saya berharap kerja-kerja yang sedang dijalankan ini dibuat dengan sempurna supaya tanah dapat dikukuhkan semula.

“Kita sebagai penduduk tidak mahu kejadian ini berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette