KUALA LUMPUR – Platform BukanRunClub bersama Working Class Champs dan The Running Saga menganjurkan Run The Track – acara perlumbaan larian trek 3000 meter dan 5000 meter untuk komuniti akan berlangsung pada 30 Disember ini, bertempat di Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15, Bangi.
Acara ini akan bermula dari jam 7.30 petang hingga 11.30 malam.
Perlumbaan yang disokong oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat ini turut terbuka kepada penyertaan melalui kelab-kelab yang mengambil bahagian serta individu-individu awam.
Bagi pelari-pelari yang ingin mencuba format perlumbaan larian trek ini boleh mengambil
bahagian dalam kategori 3000m, yang akan menawarkan hadiah sebanyak RM100, RM80 dan RM50 bagi pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.
Bagi kategori 5000m pula hadiah RM300, RM200 dan RM100 menanti pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.
Penganjur juga mengadakan kategori khas ‘jemputan’ 5000m dengan mengundang atlet-atlet terkemuka negara untuk hadir dan bersaing.
Pemenang bagi kategori jemputan ini akan memenangi wang tunai RM500 untuk johan, RM400 naib johan dan RM300 bagi tempat ketiga.
Penganjur berkata, fenomena larian di Malaysia sangat menggalakkan ditambah lagi dengan kehadiran banyak kelab larian komuniti yang baru ditubuhkan.
Wakil penganjur, BukanRunClub berkata, kebanyakan kelab hanya fokus pada marathon dan half marathon, jadi acara ini adalah satu inisiatif yang ingin ketengahkan kerana penganjuran acara trek amat jarang di Malaysia.
BukanRunClub dengan kerjasama Working Class Champs dan The Running Saga yang mempunyai atlet-atlet terkemuka negara sangat bertuah kerana Dirigo Events yang merupakan penganjur Kuala Lumpur Standard Marathon (KLSCM) acara marathon terbesar di Malaysia menjadi penyokong dan penyumbang utama bagi acara ini.
Komuniti setempat dijemput menyertai dan memeriahkan acara istimewa ini dan mendapatkan maklumat terkini melalui akaun Instagram Run The Track di @rttrack. – MalaysiaGazette