KUALA LUMPUR – Bagi golongan suami bukan muslim yang mana isterinya telah melakukan zina dengan lelaki lain masih boleh menggunakan perkara itu ketika prosiding tuntutan cerai.
Menurut peguam, J. Gunamalar, pasangan yang isterinya dipikat lelaki lain bagi hubungan seks mempunyai penyelesaian bawah undang-undang sivil.
Menurutnya, seorang suami boleh memilih untuk mengakhiri perkahwinan sivilnya di bawah Akta Pindaan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dengan menamakan pemikat sebagai responden kedua berlandaskan bukti kukuh adanya aktiviti zina isteri dengan pihak ketiga.
“Hanya dengan bukti kukuh pemohon boleh mendapat tuntutan ganti rugi. Suami berhak mendapatkan ganti rugi terhadap pihak ketiga kerana menyumbang kepada kehancuran perkahwinan akibat perbuatan zina itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Gunamalar merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lepas yang memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat apabila mengisytiharkan seksyen itu tidak berperlembagaan kerana melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.
Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Tengku Maimun berkata, Seksyen 498 adalah peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, Perkara 162(6) memberi kuasa kepada mahkamah atau tribunal mengubah suai atau meminda peruntukan undang-undang untuk diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kata Gunamalar lagi, penghapusan kesalahan Seksyen 498 dari buku undang-undang bermaksud suami telah kehilangan haknya untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat oleh pihak berkuasa. -MalaysiaGazette