SHAH ALAM – Pasukan pendebat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini muncul juara dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 Edisi ke-24 bagi kategori Bahasa Melayu.

Mereka mengalahkan pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) selepas membahaskan usul bertajuk ‘Dewan Ini Akan Memberi Keutamaan Kepada Pembinaan Tenaga Manusia Berbanding Pembangunan Kecerdasan Buatan’.

Selain itu, pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinobatkan sebagai juara bagi kategori Bahasa Inggeris manakala juara bagi kategori Bahasa Arab diraih pasukan dari Universiti Malaya (UM).

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat merasmikan majlis penutup pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sebanyak 85 pasukan mewakili 19 universiti awam dan empat institusi pengajian tinggi swasta mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini yang turut menyaksikan kategori Bahasa Arab diperkenalkan semula selepas 16 tahun. – BERNAMA