Gunung Pulai

JOHOR BAHRU – Tiga pendaki, dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai di Kulai, sesat selama sembilan jam di hutan itu sebelum ditemukan selamat tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 30an itu ditemukan selepas Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 4 petang melibatkan JPNJ, Balai Polis Kangkar Pulai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kangkar Pulai serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Beliau berkata,mereka dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai melalui Taman Awam Bandar Baru Kangkar Pulai pada 9 pagi dan meneruskan pendakian ke Sungai Emas (Hutan Simpan Gunung Pulai) untuk menuju ke Tasik Biru Kangkar Pulai, namun gagal menemukan jalan keluar.

“Aduan diterima oleh Balai Polis Kangkar Pulai pada 4 petang, selepas mangsa membuat laporan sendiri menerusi panggilan telefon dan memaklumkan bahawa mereka tersesat serta tidak menjumpai jalan pulang.

“Difahamkan juga, mangsa kali pertama memasuki kawasan tersebut dan hanya mendapat maklumat daripada pendaki lain,” katanya.

Salim berkata, pendaki tersebut didapati tidak mempunyai permit untuk memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau MGP.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor, katanya.

Beliau berkata JPNJ telah mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Pulau bermula 20 Nov lepas, sekali gus menasihatkan orang ramai agar mematuhi larangan penutupan itu atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast