Danial Al-Rashid
Danial AL-Rashid Haron Aminar Rashid

KUALA LUMPUR – Cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen juga pernah dilontarkan oleh Pas melalui naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, Setiausaha Pas Selangor, Zaidy Abdul Talib mungkin terlupa perkara itu.

“Hanya disebabkan kenyataan DAP dan Amanah agak hampir terus dilabel khadam tanpa Zaidy sendiri memahami isi kandungan yang dinyatakan oleh kedua-kedua pihak.

“Adakah Zaidy sendiri takut dengan agenda persempadanan semula yang akan mengakibatkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) terus padam dalam landskap politik Malaysia?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Amar dilapor mencadangkan persempadanan semula kawasan Parlimen dilakukan ketika berkata kepada pemberita di Kota Bharu pada 23 Mac 2021.

Terdahulu, Zaidy dalam satu kenyataan mendakwa, Amanah dipergunakan oleh DAP untuk mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula kawasan Parlimen.

Beliau turut menasihatkan Amanah agar jangan menghina diri sendiri dengan menjadi ‘khadam’ DAP.

Konvensyen Amanah Selangor kelmarin meluluskan usul mendesak kerajaan dan SPR melaksanakan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Danial Al-Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga memberitahu, persempadanan semula perlu dilakukan berikutan pertambahan jumlah pengundi yang mendadak akibat pelaksanaan Undi 18.

Beliau menambah, ketidakseimbangan turut berlaku dari segi peruntukan berbanding jumlah pengundi di sesetengah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Hanya disebabkan tidak berlaku realistik, Pas seperti biasa terus bermain dengan sentimen dan mengetepikan fakta,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Amanah jangan jadi khadam DAP – Zaidy

1 Komen

Comments are closed.