BANGI – Sebarang pengumuman mengenai pengecualian bayaran tol sempena cuti perayaan Krismas akan dibuat Kementerian Kewangan ataupun Kementerian Kerja Raya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata satu pengumuman akan dibuat salah satu kementerian itu pada Jumaat depan.
“Jumaat ini akan ada pengumuman sama ada terdapat pengecualian tol atau tidak. Kita serah kepada menteri (Menteri Kerja Raya) atau kementerian kewangan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata kerajaan memperuntukkan RM21 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuhraya dengan pelaksanaan tol percuma sebelum ini.
“(Pengecualian tol) bukan dibayar oleh syarikat konsesi tetapi sebaliknya kerajaan yang membayar kepada syarikat konsesi.
“Pada sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Kementerian Kewangan membayar RM41.21 juta kepada pemegang syarikat konsesi.
Pada Hari Raya Aidilfitri pulamelihatkan jumlah sebanyak RM80.07 juta manakala Deepavali (dua hari) RM42.31 juta,” katanya lagi.
Kata Ahmad, kerajaan sudah memperuntukkan RM163 juta bagi pelaksanaan tol percuma sempena tiga perayaan utama di negara ini. – MalaysiaGazette