Kerja-kerja menanam ceracak sedang giat dijalankan di kawasan perumahan di Jalan Wawasan 3/9 dan 4/9, Taman Wawasan, Puchong, Selangor yang berlaku tanah runtuh pada Sabtu lalu. Foto NUR SYADILA AMARI, 18 DISEMBER 2023.

PUCHONG – Polis mengesahkan kawasan perumahan yang tidak terjejas berhampiran tanah runtuh di Jalan Wawasan, Taman Wawasan di sini masih selamat dihuni.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata penduduk tidak perlu bimbang kerana struktur tanah runtuh itu tidak akan sampai ke kawasan lain.

“Jadi kalau kita rasakan kawasan ini tidak selamat (berdasarkan) laporan daripada jabatan yang berkaitan, kita akan maklumkan kepada penduduk,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran tanah runtuh itu.

Selain itu, Anbalagan berkata kerja-kerja penanaman cerucuk besi masih giat dilakukan di kawasan terbabit mengikut kesesuaian dan kedalaman cerun tanah runtuh.

“Kontraktor menggunakan dua saiz cerucuk besi yang berbeza iaitu sembilan meter serta 12 meter mengikut keperluan kerana ada kawasan hanya perlukan sembilan meter dan ada yang memerlukan cerucuk besi bersaiz 12 meter,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat petang tadi, sebanyak 74 cerucuk besi telah dipasang di sekitar kawasan tanah runtuh itu.

Susulan itu, Anbalagan berkata agensi-agensi yang terlibat juga sedang menjalankan tugas mereka bagi mengatasi isu saliran air.

“Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun Dan Forensik) dan MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) sedang menjalankan kerja-kerja mencari (jalan) bagaimana saliran air di belakang kawasan runtuhan ini dapat mengalir ke saluran asal hingga ke sungai,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati kerja-kerja pemasangan cerucuk besi dijalankan secara berperingkat.

Pada Sabtu lepas, seramai 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka. – BERNAMA