MELAKA – Buat pertama kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dapat penarafan QS World Ranking Sustainability 2024
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan penghormatan atas dedikasi berterusan UTeM terhadap amalan lestari yang berkait langsung dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia.
Jelasnya, QS World University Rankings: Sustainability 2024 merupakan satu penarafan yang diiktiraf di seluruh dunia yang mana ia menilai komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi (ESG).
“Penyertaan UTeM dalam senarai berprestij ini sekaligus menaikkan martabat universiti ke peringkat antarabangsa dan menzahirkan komitmen kami yang memberikan kesan dan impak langsung terhadap dunia.
“Pencapaian ini juga turut membuktikan adanya keberhasilan berantai bagi setiap usaha mampan UTeM secara menyeluruh melalui amalan kampus mesra alam dan penglibatan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Massila berkata, program-program ini juga bukan sahaja membantu menjadikan kampus lebih hijau malahan ia turut memupuk rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan pelajar dan kakitangan.
Mengulas lanjut Massila berkata, kedudukan ini turut menambah nilai buat UTeM sebagai sebuah institusi kecemerlangan teknikal yang terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
“Usaha berterusan kami ke arah kelestarian sepenuhnya ini bukanlah berteraskan kepada penarafan semata-mata namun usaha murni adalah demi untuk memastikan legasi ini dapat diwarisi buat generasi seterusnya dan kemaslahatan sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette