Aeril Zafrel dan isteri, Wawa Zainal berharap bayaran zakat yang dilunaskan dapat membantu golongan yang memerlukan.

KUALA LUMPUR – Pasangan usahawan selebriti terkenal, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal membayar zakat perniagaan RM1.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Aeril, 35, berkata, jumlah yang dibayar itu adalah hasil perniagaan tahun ini.

“Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

“Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua,” katanya dalam satu rakaman video di media sosialnya.

Menurut Aeril, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini.

“Semoga usaha ini menjadi langkah awal dan pendorong buat orang lain juga. Percayalah, tidak miskin orang yang bersedekah di jalan Allah,” katanya.

Tahun lalu, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana melunaskan bayaran zakat melebihi RM50,000.

Aeril dan Wawa memiliki beberapa perniagaan antaranya, Wawa Cosmetics dan syarikat produksi Respected Citizen Sdn Bhd.. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast